SEBAIK Live Nation mengumumkan Bunga Isme sebagai artis pembuka tirai (opening) konsert Coldplay: Music of the Spheres World Tour di Bukit Jalil pada 22 November depan, pelbagai komen dilayangkan dalam media sosial.
Ramai yang beri respons tidak mengenalinya hingga sanggup melontarkan ayat kurang manis atau dalam erti kata lain, umpama cuba ‘membunuh’ semangat pemilik nama sebenar Noor Ayu Fatini Mohd. Bakhari itu.
Mizz Lahar faham sikap skeptikal begini adalah perkara biasa, lebih-lebih lagi buat mereka yang mungkin berasakan Bunga Isme belum layak berada di posisi tersebut semata-mata mereka sendiri tidak mengenalinya.
Tapi cubalah bagi peluang kepadanya kerana Mizz Lahar yakin, syarikat rakaman serta penganjur tentu ada alasan kukuh memilih penyanyi itu beraksi pada malam tersebut yang dijangka dibanjiri 85,000 penonton.
Tak kenal maka tak cinta. Betul tak? Apa kata mereka yang kata tak tahu siapa Bunga Isme cari lagu Bunga, Bukalah Matamu dan beberapa seleksi dendangannya di Spotify atau YouTube.
Banyak masa lagi sementara menunggu ketibaan November yang kalau dihitung berbaki lima bulan.
Lagipun, kalau ikutkan tujuan utama ke lokasi konsert itu nanti nak menonton konsert Coldplay. Kiranya sesiapa pun penghibur tempatan yang dipilih ‘memanaskan’ pentas kita saja bagi sokongan. Betul tak?
Mizz Lahar: Masih sebu dengan sikap sombong seorang penyanyi muda yang amalkan sikap memilih bulu.