SHAH ALAM – Kemelut rumah tangga pelakon Afiq Muiz bakal memasuki episod baharu apabila dia memfailkan tuntutan nusyuz terhadap isterinya, Pachara Apin atas dakwaan mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
Tuntutan tersebut difailkan sebulan lalu dan bakal dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 4 Julai depan.
Menurut pemilik nama penuh Muhammad Afiq Muiz Azman Shah, 31, tuntutan tersebut dilakukan sebagai pembelaan bagi pihaknya atas semua dakwaan yang dilemparkan oleh Pacchara terhadapnya.
“Dia nusyuz sebab ada lelaki lain dan melakukan perkara-perkara di luar hukum syarak. Itu antara salah satu sebabnya.
“Saya mempunyai bukti atas semua dakwaan itu dan akan diusulkan pada perbicaraan itu nanti. Semua yang dia cakap sebelum ini jugak tidak betul,” katanya kepada Kosmo! Online selepas prosiding permohonan tuntutan cerai secara fasakh di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, hari ini
Dalam pada itu, dia juga menjelaskan pernah menuntut perbincangan di luar mahkamah dengan Pachara tetapi ditolak.
Bahkan, dia juga mempunyai usaha meminta Pachara menjadi individu lebih baik tetapi perkara itu juga ditolak oleh isterinya.
“Saya ada tuntut perkara itu daripada dia tetapi tak mahu buat.
“Saya juga minta dia bercakap pada pihak media bahawa saya tidak bersalah tetapi dia tak mahu.
“Selain itu, saya juga mahu dia jadi individu lebih baik, dia tak mahu. Sekarang saya nampaklah dia nak jadi lebih Islamik tetapi hati saya sudah terluka,” katanya lagi.
Ditanya sebab memilih untuk berdiam diri selama ini, dia memberitahu pendirian tersebut adalah lebih baik daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya.
“Itu lebih baik daripada saya buat benda tidak sepatutnya.
“Saya tunggu pihak mahkamah untuk buat keputusan dan ikut sahaja arah yang ditentukan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia mengakui sikap berdiam dirinya itu adalah kerana kecil hati dengan tindakan Pachara yang didakwa melakukan perkara tidak sepatutnya sebagai seorang isteri.
“Sebagai seorang suami, saya sedih apabila diduakan dan cakap saya didengari.
“Saya ada kecil hati sebab itu dan antara sebab saya berdiam diri selama ini. Jadi, kita tunggu sahajalah keputusan mahkamah dengan melihat siapa yang akan berjaya untuk kes ini,” ujarnya.
Dalam prosiding hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Petaling menetapkan13 Julai sebagai tarikh sebutan baru bagi prosiding permohonan tuntutan cerai secara fasakh pasangan tersebut.
Fasakh bermaksud pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh hukum Syarak.
Antara perkara yang mengharuskan fasakh adalah apabila suami atau isteri tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih dari satu tahun.
Pada 6 April lalu, Pachara menyifatkan suaminya sengaja melengah-lengahkan proses permohonan cerai secara fasakh yang dituntutnya selepas mendakwa tidak menerima sebarang notis awal berhubung perkara tersebut.
Sementara Afiq tidak memberi sebarang kenyataan kepada pihak media ketika ditemui di mahkamah.
Sebelum ini, Pachara dalam satu pendedahannya memberitahu Afiq pernah mengasarinya sehingga mengakibatkan kaki serta jarinya patah.
Kenyataan tersebut kemudiannya meraih komen balas adik Afiq iaitu pelakon, Aishah Azman yang bengang dengan tindakan Pachara membuat kenyataan palsu dalam media sosial.
Tidak menunggu lama, Afiq kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Dengkil pada 30 November tahun lalu bagi membersihkan nama selepas mendakwa difitnah.
Pada 27 Mac 2019, Afiq mendirikan rumah tangga dengan Pachara selepas setahun berkenalan di set penggambaran drama Air Mata Syurga. – KOSMO! ONLINE