fbpx

Inisiatif martabatkan bahasa Melayu akan diperluas ke IPTS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled (tengah) ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di IPTA 2023-2030, di UIAM, di sini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan bahawa inisiatif memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan dipanjangkan ke institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS)
secara berperingkat.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana usaha memperjuangkan bahasa kebangsaan memerlukan sokongan semua pihak.

“Saya saran agar semua institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) melihat secara serius kaedah terbaik bersesuaian dengan institusi masing-masing.

“Namun, IPTS tidak pernah terlepas daripada turut menyambut agenda nasional apatah lagi di bawah pentadbiran saya, KPT tidak membeza-bezakan IPTA dan IPTS,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di IPTA 2023-2030, di UIAM, di sini.

Pelan tersebut telah dibangunkan oleh Bahagian Perancangan Strategik, KPT, UIAM, dan penyelidik dari UIAM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Ia merupakan pelan ketiga yang membawa beberapa penegasan baharu, dalam usaha memartabatkan kedudukan bahasa Melayu.

Mohamed Khaled berkata, beberapa langkah awal akan dimulakan antaranya membuka pencalonan Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu agar turut melibatkan ahli-ahli akademik dari IPTS bermula tahun 2024.

“Bagi jangka panjang pula, kementerian turut merancang untuk bangunkan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu di IPTS.

“Ini bagi memastikan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan di sektor pendidikan tinggi bersifat menyeluruh, praktikal dan strategik.

“Kalau Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) yang beroperasi menggunakan bahasa Inggeris dan Arab, boleh pamer komitmen untuk martabatkan bahasa Melayu, saya tidak lihat wujud alasan di pihak IPT lain untuk tidak melakukan perkara sama,” tegasnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI