fbpx

Guru maahad tahfiz mengaku tak bersalah liwat pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD HAMZI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dakwaan meliwat seorang pelajar maahad tahfiz di Pontian, Julai dan November tahun lalu serta Mac tahun ini.

JOHOR BAHRU – Seorang tenaga pengajar sebuah maahad tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan perbuatan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki.

Tertuduh, Mohamad Hamzi Mohd. Kasmadi, 27, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Siti Noraidi Sulaiman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dengan cara memasukkan kemaluannya ke dalam dubur mangsa.

Tertuduh yang juga merupakan warden asrama didakwa melakukan perbuatan itu dalam sebuah bilik asrama maahad tahfiz di Benut, Pontian pada Julai dan November tahun lalu, serta Mac tahun ini.

Atas perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin meminta jaminan RM20,000 beserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Omar Kutty Abdul Aziz memohon jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh merupakan seorang individu dengan berpendapatan sederhana.

“Dia menerima gaji sebanyak RM1,800 sebulan dan perlu menanggung isteri yang kini sarat mengandung anak pertama,” jelasnya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM18,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat-syarat tambahan.

Siti Noraidi turut menetapkan tarikh 23 Julai untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI