KUALA LUMPUR – Masalah kesihatan mental membabitkan kanak-kanak berusia lima hingga 15 tahun adalah kira-kira 12 peratus pada 2015 dan dikhuatiri lebih tinggi ketika pandemik Covid-19.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa melaporkan masalah kesihatan mental dalam kalangan penduduk berusia 16 tahun meningkat tiga kali ganda pada 2015, daripada 11 peratus pada 1996 kepada 29 peratus.
“Besar kemungkinan, semasa pandemik Covid-19 masalah kesihatan mental lebih tinggi
“Begitu juga dengan insiden kanser dalam negara yang menurut Registri Kanser Kebangsaan, sebanyak 115,000 kes kanser baharu dilaporkan dari tahun 2012 hingga 2016,” katanya di Dewan Rakyat ketika membentangkan Kertas Putih Kesihatan hari ini.
Tambah Zaliha, sistem kesihatan negara berhadapan dengan peningkatan kadar penuaan populasi yang mana unjuran populasi oleh Jabatan Perangkaan menjangka pada 2030 nanti, Malaysia akan menjadi negara tua.
“Prevalen penyakit tidak berjangkit lebih tinggi dalam kalangan warga emas dan secara langsung permintaan penjagaan kesihatan juga meningkat,” jelasnya.
Kata Zaliha, sistem penyampaian penjagaan kesihatan negara yang bersifat dikotomi dan tidak berintegrasi menyumbang kepada pengagihan perkhidmatan dan sumber-sumber kesihatan yang tidak seimbang di Malaysia.
Terdahulu pada Mac lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata 13.4 peratus kanak-kanak dan remaja yang menetap di Projek Perumahan Rakyat di Lembah Klang mempunyai kecenderungan bunuh diri dan mencederakan diri sendiri akibat tekanan hidup. – KOSMO! ONLINE.