PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap perpisahan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim di Istana Negara.
Istana negara menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi memaklumkan, Rais yang mula berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara ke-18 pada 2 September 2020, akan menamatkan perkhidmatan beliau hari ini, 15 Jun 2023.
“Beliau telah berkhidmat selama tiga tahun dengan penuh dedikasi dan cemerlang.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas jasa dan khidmat bakti Rais kepada negara,” kata hantaran itu. – KOSMO! ONLINE