fbpx

ADUN Belantek meninggal dunia di HSAH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Isa.

ALOR SETAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, Datuk Mohd. Isa Shafie meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani dekat sini kira-kira pukul 11.23 malam semalam.

Allahyarham Mohd. Isa, 69, pada 4 Mei lalu dilaporkan dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSAH, di sini.

Beliau dikatakan rebah di di bilik air rumahnya di Kampung Jelutong, Sik dekat sini dan dikejarkan ke Hospital Sik sebelum dipindahkan ke HSAH kerana mengalami jangkitan kuman pada jantung, paru-paru dan buah pinggang.

Pemergian arwah turut dikongsi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor di akaun Facebook rasminya.

“Terasa sangat kehilangan Allahyarham Ustaz Datuk Mohd. Isa Shafie, ADUN Belantek. Mula bekerja bersama Allahyarham sejak 1999 bila beliau dipilih sebagai ADUN Belantek kali pertama pada usia 46 tahun.

“Beliau meletak jawatan sebagai pegawai bomba lapangan terbang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999. Banyak kebolehan beliau diasah bersama Pas dan kerjayanya,” katanya.

Menurutnya lagi, arwah aktif dalam Pas sebagai penceramah sejak 1970-an dengan berulang alik antara Sik dan Pulau Pinang setiap kali pilihan raya berlangsung.

“Beliau kaya dengan kisah tentang orang dulu-dulu berjuang dan sangat memotivasikan. Pernah menjadi Yang Dipertua Pas Kawasan Sik dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah sewaktu Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak menjawat Pesuruhjaya Pas Kedah.

“Beliau sering menelefon bertanya khabar dan berpesan pelbagai perkara bila lama tak dapat bersua muka. Dia sangat mengambil berat tentang keselamatan saya. Beliau adalah guru, sahabat dan teman suka duka dalam perjuangan,” ujarnya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mohd. Isa menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 2,574 undi.

Mohd. Isa berkhidmat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantek selama tiga penggal dan beliau sebelum ini dilaporkan menghidap penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi serta jantung. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI