fbpx

700,000 isi rumah nikmati Skim Perubatan Madani bermula hari ini – Dr. Zaliha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zaliha.

PUTRAJAYA – Kira-kira 700,000 isi rumah dijangka menikmati Skim Perubatan Madani di 10 buah daerah terpilih seluruh negara dengan peruntukan berjumlah RM100 juta mulai hari ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, Skim Perubatan Madani merupakan satu inisiatif rintis kerajaan bertujuan menampung keperluan kesihatan golongan B40, terutama bagi mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut (rawatan pesakit luar kes-kes akut) di pengamal perubatan swasta umum (GP).

“Skim Perubatan Madani ditawarkan secara automatik kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dengan membantu menampung kos rawatan kes-kes akut.

“Pra-pendaftaran adalah tidak diperlukan untuk menikmati manfaat Skim Perubatan Madani bagi penerima STR dan tanggungannya.

“Mereka hanya perlu membawa kad pengenalan semasa mendapat rawatan di GP yang berdaftar dibawah Skim Perubatan Madani.,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Jelasnya, peruntukan bagi setiap isi rumah adalah sehingga RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga, warga emas (tanpa pasangan) (RM125) dan bujang RM75.

“Penerima manfaat boleh mendapat beberapa kali rawatan percuma sehingga peruntukan bagi setiap isi rumah telah habis,” katanya.

Katanya, rawatan pesakit luar kes-kes akut percuma yang ditawarkan Skim Perubatan Madani merangkumi rawatan bagi demam selesema, cirit birit, muntah, terseliuh, sakit kepala, trauma ringan dan pelbagai lagi.

“Pakej rawatan Skim Perubatan Madani tidak merangkumi rawatan bukan akut seperti imunisasi , saringan kesihatan, rawatan susulan penyakit tidak berjangkit, rawatan susulan ibu dan anak, perancangan keluarga, perkhidmatan rehabilitasi dan permohonan ubat-ubatan dan suplemen tanpa konsultasi doktor,” ujarnya.

Skim Perubatan Madani bermula di 10 buah daerah iaitu Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling (Selangor), Kuala Lumpur, Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Johor Bahru (Johor), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak) sehingga 31 Disember ini.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan melalui ProtectHealth menyasarkan sebanyak 700 GP berdaftar sebagai panel Skim Perubatan Madani menjelang September depan.

Ketika ini kata Dr. Zaliha, sebanyak empat sesi penerangan dan latihan kepada GP dijalankan dan dijangka sebanyak 10 sesi lagi akan dilakanakan bagi mencapai sasaran GP berdaftar untuk skim ini.

Maklumat lanjut mengenai Skim Perubatan MADANI termasuk semakan kelayakan dan senarai klinik panel boleh didapati di laman sesawang ProtectHealth, selaku pelaksana skim berkenaan iaitu di www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani atau hubungi talian 03-8687 2525. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI