PETALING JAYA – Sebuah Task Force (jawatankuasa) rentas kementerian diwujudkan bagi menyelesaikan masalah bekalan gula secara komprehensif.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia berperanan untuk memantau status pengeluaran serta pengedaran gula putih bertapis kasar & halus.
“Task force ini terdiri daripada empat kementerian iaitu KPDN, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Ekonomi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, dengan penglibatan empat kementerian, cadangan tindakan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang dapat dirangka bagi memastikan keterjaminan bekalan gula negara. – KOSMO! ONLINE