fbpx

Zamsaham, pulangkan wang hampir RM250,000 saya – Nita Sahari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NITA menunjukkan surat mahkamah di pejabatnya di Pusat Perniagaan Uda, Johor Bahru. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

JOHOR BAHRU – Seorang usahawan wanita mendesak pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham untuk memulangkan kembali baki wang tuntutannya sebelum ini yang berjumlah RM249,675.60.

Pengarah Nita Sahari Properties Sdn. Bhd., Nita Sahari memberitahu, Zamsaham telah diperintahkan Mahkamah Sesyen Johor Bahru untuk berbuat demikian dengan segera pada 8 Mei lalu.

Sehubungan itu katanya, Zamsaham telah melanggar perintah mahkamah kerana masih belum melunaskan hutang berkenaan.

“Tuntutan ini berkenaan pelaburan berjumlah RM999,675.60 yang saya buat ke dalam syarikat Uncle Zam Holdings miliknya pada April 2021 lalu. Saya bersetuju melabur kerana dalam perjanjian terdapat klausa yang membenarkan saya menarik pelaburan dengan penalti 5 peratus.

“Saya juga tertarik untuk melabur kerana dijanjikan perniagaan itu bakal diberi tawaran awam permulaan (IPO), dengan jangkaan dalam tempoh enam bulan. Namun selepas tiada sebarang perkembangan terhadap pelaburan itu, saya buat keputusan untuk menarik diri.

“Dia kemudian berjanji untuk memulangkan wang pelaburan saya pada 24 Februari 2022, namun setakat ini, saya hanya menerima wang berjumlah RM750,000 dengan baki sebanyak RM249,675.60 masih belum dipulangkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sehubungan itu, Nita memberitahu, pihaknya telah membawa tuntutan berkenaan ke mahkamah sebelum keputusan akhir diterima pada 8 Mei lalu iaitu Zamsaham perlu memulangkan baki wang dengan segera.

“Semasa komunikasi berhubung perkara ini dibuat, dia (Zamsaham) maklumkan akan buat pembayaran, dia siap minta nombor akaun seperti akan lunaskan segera pembayaran wang berkenaan.

“Tetapi selepas itu, dia terus menyepikan diri dan masih belum langsaikan pembayaran baki yang masih tertunggak,” jelasnya.

Sehubungan itu, Nita memberitahu, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya bagi mendapatkan semula hak diri dan enggan terus menjadi mangsa dalam kes berkenaan.

“Saya akan lihat tindakan perundangan yang boleh dikenakan terhadap syarikat itu sekiranya mereka masih berdegil dan enggan membayar segera wang berkenaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI