fbpx

Terkesan laungan azan, buka hati peluk Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAIFUL BAHARI (kiri) bersama isterinya, Meriam.

MEKAH – Dijemput menunaikan haji selepas bergelar muslim sejak 41 tahun lalu merupakan hadiah paling bernilai dalam hidup seorang lelaki selepas hatinya dibuka untuk memeluk Islam kerana laungan azan maghrib yang sering didengarinya.

Saiful Bahari Abdullah, 68, berkata, azan yang dikumandangkan bilal di sebuah masjid di Sentul Pasar Dalam, Kuala Lumpur itu begitu syahdu hinggakan dia akan berhenti seketika untuk menghayati setiap lafaznya.

Katanya, situasi itu berlaku hampir setiap hari ketika dia dalam perjalanan pulang dari sekolah sesi petang ke rumahnya di kawasan berhampiran.

“Suara bilal itu pun sedap didengar sampaikan saya hafal setiap bait azan. Ketika berusia 28 tahun, saya berjumpa dengan seorang imam dikenali sebagai Ghani yang pandai berbahasa Inggeris untuk mendengar nasihat dan mendapatkan pandangan mengenai agama Islam daripadanya.

“Ia membuatkan hati saya tak tertahan sebelum saya membulatkan tekad untuk memeluk Islam melalui bekas mufti Melaka, Sahibus Samahah, Datuk Seri Rashid Redza Md. Salleh pada tahun 1982. Saya terus tukar nama Subramaniam kepada Saiful Bahari,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Saiful Bahari (kanan) dan Meriam melihat cenderahati yang dijual di Hotel Fajer Al Badia, Mekah baru-baru ini

Menurut Saiful Bahari, ibunya tidak menghalangnya berbuat demikian, malah wanita itu memintanya solat di dalam rumah setiap kali mendengar azan dikumandangkan.

Tambahnya, setahun kemudian dia bertemu jodoh dengan isterinya, Meriam Md. Esa, 69, atas persetujuan dan restu keluarga. Mereka dikurniakan dua anak perempuan, Siti Sarah, 38, dan Siti Farah, 33, serta lima cucu.

“Kami sering berselisih kerana ketika itu dia bekerja di pejabat mahkamah manakala Meriam di ofis Jabatan Kebajikan Masyarakat yang terletak berhampiran di Taiping, Perak.

“Bapanya tiada bantahan kerana melihat saya sudah memeluk Islam dan mempunyai pekerjaan. Keluarga saya pun begitu tetapi mereka tidak mengikuti jejak saya,” katanya.

Menceritakan mengenai perjalanan hajinya, Saiful Bahari menambah, dia langsung tidak menyangka akan menjejakkan kaki ke Tanah Suci sedangkan masih ramai orang yang Islam sejak lahir belum ada peluang sedemikian.

“Kami daftar pada 2008. Saya kemudian menerima mesej yang meminta supaya kami ke pejabat Tabung Haji (TH) Alor Gajah pada Mac lalu.

“Saya enggan layan sebab ingatkan scam. Mereka kemudian cuba hubungi telefon isteri dan reaksi sama diberikan kerana kami sangka scam,” katanya.

Menurut Saiful Bahari, selepas beberapa kali, dia akhirnya menjawab juga panggilan itu dan baru tahu ia benar dan terus membuat persiapan seperti diarahkan.

“Saya ikuti kursus di media sosial kerana sudah terlewat. Kami hanya hadir kursus perdana dan intensif anjuran TH sebelum berangkat ke Madinah pada 25 Mei lalu.

“Kami tak pernah buat umrah apatah lagi haji dan Ini merupakan hadiah paling bermakna buat kami. Selalu lihat kaabah di sejadah sahaja dan kali ini ia betul-betul di depan mata,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI