PUTRAJAYA – Selepas pulang dari melawat ahli keluarga di Singapura bulan lalu, Datin Seri Rosmah Mansor sekali lagi memohon pasportnya yang kini ditahan oleh mahkamah berkaitan kes jenayah, dikembalikan bagi membolehkannya melawat mereka di republik itu.
Permohonan isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu akan didengar di Mahkamah Rayuan esok. Notis permohonan difailkan melalui Tetuan Akberdin & Co. pada 2 Jun lalu.
Dalam afidavit yang diikrarkan bagi menyokong permohonan itu, Rosmah menyatakan akan berada di Singapura untuk melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa dan keluarga yang menetap di sana.
Isteri bekas Perdana Menteri menyatakan, beliau akan berada di negara jiran itu selama empat minggu hingga bulan depan.
“Hingga hari ini saya tidak pernah gagal atau cuai untuk hadir ke mahkamah untuk sebutan dan perbicaraan tanpa alasan yang munasabah,” ujar beliau dalam afidavit sokongan yang diikrarkan pada 2 Jun lalu.
Rosmah turut memberi akujanji untuk menyerahkan pasport itu kepada mahkamah selewat-lewatnya seminggu selepas pulang daripada lawatan tersebut.
Pada 21 Mac lalu, Mahkamah Rayuan memulangkan semula pasportnya bagi membolehkan beliau melawat ahli keluarga termasuk seorang cucu yang sakit di Singapura.
Mahkamah Rayuan dijangka mendengar rayuan Rosmah pada 11 hingga 14 Julai ini terhadap hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta berkaitan kes solar.
Isteri Najib itu turut berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai dihadapi Rosmah sebelum ini ditetapkan selama 15 hari antara 12 Mei dan 8 September ini.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 12 Mei lalu menangguhkan perbicaraan selepas Rosmah mengemukakan representasi bagi menggugurkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7.1 juta serta lima pertuduhan pengelakan cukai yang dihadapinya.
Representasi tersebut antaranya mengandungi isu perundangan yang serius dan fakta-fakta tertentu yang mempunyai kaitan dengan kes projek solar yang mana isteri bekas Perdana Menteri disabitkan terhadap pertuduhan rasuah.
Sehubungan itu, Hakim K. Muniandy melapangkan prosiding pada hari tersebut serta tarikh-tarikh terdahulu serta menetapkan 24 Ogos untuk keputusan representasi. Jika ditolak, bicara akan didengar pada hari yang sama. – KOSMO! ONLINE