fbpx

Pihak penganjur yang tetapkan harga tiket – Faizal Tahir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAIZAL TAHIR mendakwa awalnya dia juga terkejut dengan harga tiket konsertnya serndiri.

PETALING JAYA – Penyanyi Faizal Tahir menegaskan tidak terlibat dalam proses penetapan harga tiket konsertnya Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur pada 2 September depan yang didakwa mahal berbanding konsert penghibur tanah air lain.

Pemilik nama penuh Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 45, mengakui menyedari rungutan orang ramai dalam media sosial dan terkejut dengan harga tiket tersebut namun menjelaskan perkara tersebut ditentukan oleh pihak penganjur.

“Pada awalnya memang agak terkejut melihat harga tiket konsert sendiri tetapi semua itu adalah di bawah kawalan pihak penganjur.

“Berdasarkan penjelasan pihak penganjur hari ini (semalam), mereka sudah mengambil kira pelbagai faktor termasuk kos lokasi dan pengalaman yang bakal ditawarkan kepada penonton pada konsert itu nanti.

“Bagi pihak saya, saya minta maaf banyak-banyak kerana ia bukan satu perkara yang saya boleh kawal,” katanya selepas sidang akhbar konsert Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pelantun lagu Sampai Syurga itu juga mengakui sedikit tertekan apabila melihat harga tiket yang ditawarkan kerana pasti mahukan persembahan berbaloi dengan nilai yang dibayar.

“Mungkin itu juga salah saya sedikit sebab tidak mengambil tahu mengenai harga tiket yang ditetapkan oleh pihak penganjur.

“Untuk saya kurangkan semula harga tiket, agak sukar. Penganjur juga beritahu harga itu ditetapkan berdasarkan kualiti persembahan yang akan saya beri pada malam itu, agak tertekan juga sebenarnya.

“Jadi, sebagai penghibur pada hari konsert nanti, saya perlu pastikan penonton rasa berbaloi membeli tiket tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia bagaimanapun enggan mempersoal mengapa harga tiketnya dikatakan mahal sedangkan ada yang sanggup membayar lebih untuk menonton persembahan penyanyi luar negara.

“Ini satu persoalan yang bagus untuk masyarakat kita menilai sendiri sebab boleh sahaja kalau saya nak cakap mengenai isu ini tetapi saya bukan jenis sebegitu.

“Tidak kisahlah artis dari Barat, Korea, Jepun atau Indonesia, peminat sanggup bayar mahal tetapi kalau artis kita mereka pasti persoalkan.

“Dengan pengalaman 17 tahun menyanyi dan sudah menghasilkan karya yang cukup baik untuk dihargai peminat bagi membayar harga sebanyak itu,” jelasnya.

Sejak beberapa hari lalu, tular dalam media sosial apabila segelintir peminat mempersoalkan harga tiket konsert Aku Faizal Tahir Live In KL dijual dengan harga yang mahal.

Tiket konsert yang bakal diadakan di Dewan Merdeka, World Trade Centre, Kuala Lumpur tersebut mula dijual bermula hari ini dengan tiga harga tiket iaitu RM488 (Platinum), RM588 (Diamond) dan RM688 (VIP).

Disebabkan harga tersebut, mereka juga membuat perbandingan harga tiket konsert Faizal dengan beberapa penyanyi lain seperti Ella baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI