fbpx

Penyeludup lari tinggal 1.8 tan minyak masak dalam kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguat kuasa KPDN memeriksa minyak masak peket bersubsidi yang dirampas di dalam sebuah kereta di jalan Wakaf King, Palekbang dekat Tumpat, Kelantan semalam. FOTO IHSAN KPDN

TUMPAT – Sekumpulan penyeludup lari lintang pukang meninggalkan minyak masak seberat 1,814 kilogram selepas kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa di jalan Wakaf King, Palekbang di sini semalam.

Serbuan dijalankan oleh anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan kira-kira pukul 12.55 tengah hari semasa penyeludup itu memunggah kotak mengandungi minyak masak di dalam dua buah kereta.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota mengekori dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Viva yang dipandu dalam keadaan mencurigakan arah Kubang Kerian menghala ke Tumpat.

Menurutnya, semasa di tiba di Wakaf King, sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak-kotak dipercayai mengandungi minyak masak dari dalam kereta.

“Anggota KPDN terus membuat serbuan sebelum mereka bertindak melarikan diri ke dalam kawasan semak berhampiran dan pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua buah kereta menemui kotak-kotak berisi minyak masak peket berjumlah lebih 1.8 tan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman memberitahu, seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an tampil mengaku minyak masak dan kereta tersebut miliknya selepas satu jam serbuan dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan barang kawalan yang berada di dalam kedua-dua buah kereta itu.

Tambahnya, suspek ditahan mengikut Seksyen 10 Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI