KUALA LUMPUR – Pengkelasan B40, M40 dan T20 yang dibuat berdasarkan pendapatan isi rumah akan dihapuskan secara berperingkat mulai 2024.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia supaya kerajaan dapat meminimumkan ralat pengecualian subsidi yang berlaku akibat pengkelasan kategori gaji.
“Beberapa inisiatif atau dasar yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini adalah berbeza berbanding dengan pendekatan yang dilakukan oleh pentadbiran sebelum ini, termasuk perkara yang membabitkan bantuan dan subsidi.
“Kerajaan juga perlu memastikan bahawa semua infrastruktur yang sedia ada dan perlu melakukan ujian perintis, sebelum mengambil keputusan berapa tahap pendapatan yang layak diberikan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Mesin Layan Diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, hari ini.
Kata Rafizi, kerajaan akan melaksanakan satu demi satu termasuk bantuan sosial yang disepadukan berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah.
“Contohnya di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN), minggu ini kita sudah mula bincang mengenai simulasi, siapa yang patut dapat apa, apakah pendekatan yang akan diberikan, adakah akan diberi penambahan nilai pendapatan dan sebagainya.
“Perkara berkenaan mampu direalisasikan dengan kerjasama pelbagai agensi menerusi perkongsian dalam Pangkalan Data Utama (Padu), sekali gus memastikan keberkesanan pelaksanaan program subsidi kerajaan,” ujarnya.
Sebelum ini, Rafizi memaklumkan, peralihan dasar sosioekonomi daripada pendekatan berasaskan pendapatan B40, M40 dan T20 kepada berasaskan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah akan dilaksanakan bermula Januari 2024. – KOSMO! ONLINE