MELAKA – Seorang pengasas pengamal perubatan jarak jauh yang juga terkenal dengan perkhidmatan membuang saka dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan membuat hantaran jelik mengaitkan agensi agama dengan dajal, tahun lalu.
Tertuduh, Adam M. Isa, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara sedar telah menggunakan saluran YouTube miliknya, Tabib Adam M. Isa membuat hantaran yang bersifat jelik dengan menggunakan perkataan Dajal.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 6.51 petang dengan niat menyakitkan hati Muhammad Abdullah, 57, yang telah melihat di alamat MT 606, Lorong Bilal, Masjid Tanah, Alor Gajah pada 30 Jun 2022.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin tidak menawarkan sebarang jaminan seperti mana diperuntukan bagi kesalahan itu, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan bicara beliau memcadangkan RM20,000 dengan seorang penjamin.
Beliau turut meminta agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri sekali dalam sebulan di balai polis berdekatan.
Peguam Mohd. Tajuddin Abdul Razak yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon agar jaminan sebanyak RM8,000 diberikan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mempunyai isteri serta lapan orang anak, selain telah menetap di Masjid Tanah selama lebih 20 tahun.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Darmafikri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan bersetuju dengan semua syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan. Beliau kemudian menetapkan tarikh 18 Julai sebagai sebutan semula kes.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan malam tadi memaklumkan seorang pengamal perubatan dikenali sebagai Tabib Adam Mohd. Isa akan didakwa atas kesalahan mengeluarkan kenyataan fitnah dalam satu klip video berdurasi 9 minit 57 saat.
Dalam kenyataan itu, tertuduh mengatakan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah dipergunakan dan dipengaruhi oleh orang awam atas tindakan yang telah diambil terhadapnya dan mengatakan dajal bekerja dengan agensi itu.
Pada 29 Jun tahun lalu Kosmo! melaporkan tertuduh dicekup JAIM selepas disyaki berkhalwat dengan seorang janda anak seorang yang juga pembantunya di sebuah rumah, di sini.
Dia yang terkenal sebagai tabib perubatan Islam jarak jauh itu juga sedang dalam pemerhatian pihak berkuasa selepas dikesan melakukan kaedah perubatan yang bercanggah dengan ajaran Islam. – KOSMO! ONLINE