fbpx

Pelihara bahan arkib sebagai khazanah negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aaron dalam majlis perasmian Minggu Arkib Antarabangsa 2023

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited dalam memelihara bahan arkib sebagai warisan khazanah negara bagi mengukuhkan semangat jati diri dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menteri Perpaduan Nasional, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, rakyat boleh mengenal diri dan memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat melalui bahan sejarah yang terdapat di Arkib Negara Malaysia (ANM).

“Negara kita mempunyai etnik, agama, budaya dan tradisi yang pelbagai. Semua ini menjadi kekuatan untuk kita kukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Selain itu, pengetahuan yang luas terutamanya dalam sejarah dapat membantu kita memupuk semangat jati diri yang kuat dalam diri.

“Mungkin tidak ramai tahu ada tempat di mana bahan-bahan arkib disimpan untuk rujukan masa hadapan. Sebab itulah, pentingnya bahan-bahan sejarah yang disimpan di arkib untuk dipelajari pada masa hadapan. Jika kita tak tahu sejarah, kita tidak dapat kenal diri kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Sambutan Minggu Arkib Antarabangsa 2023, di Auditorium Pusat Pendokumentasian dan Pemeliharaan Audiovisual (PPPAV), Arkib Negara Malaysia, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata, objektif utama sambutan Minggu Arkib Antarabangsa 2023 adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terutamanya generasi muda tentang peranan dan kepentingan institusi arkib dan bahannya.

“Mengangkat tema ‘Archives United’, sambutan oleh ANM ini selari dengan inisiatif ‘Ini Warisan Kita’ yang bertujuan menyemai, memupuk serta menyemarakkan lagi rasa cinta kepada negara.

“Kali ini, antara program yang dijalankan adalah pemulihan bahan pandemik Covid-19. Selain maklumat lisan, ANM juga berusaha mengumpul rekod persendirian berkaitan Covid-19 supaya ia boleh menjadi rujukan generasi muda pada masa hadapan,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI