Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
HARIMAU Malaya bakal turun dengan jentera serangan berbeza pada aksi persahabatan dengan Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Terengganu malam ini.
Ketua jurulatih, Kim Pan-gon mengakui masalah kecergasan membelenggu kem negara sehingga tiada penyerang tulen untuk ditampilkan bagi mengemudi barisan harapan.
“Buat masa ini kami sedang memantau rapi tahap kecergasan beberapa pemain. Ada pemain tidak cergas 100 peratus sehingga terpaksa disisihkan seperti Darren Lok.
“Begitupun, saya percaya ia membuka peluang kepada pemain lain untuk membuktikan kemampuan,” katanya pada sidang akhbar semalam.
Pan-gon berkata, buat masa ini, perancangan bagi ‘eksperimen’ terbaharunya itu berjalan lancar.
Katanya, beliau optimis anak buahnya akan menampilkan persembahan terbaik untuk disajikan kepada penyokong tegar Harimau Malaya.
Bagaimanapun, Pan-gon enggan mendedahkan strategi serta percaturan terbaiknya untuk menundukkan Kepulauan Solomon yang kini berada di ranking 134 dunia.
Sementara itu bek kanan, Matthew Davies, pula mahu rakan sepasukan tidak memandang rendah keupayaan Kepulauan Solomon meskipun Malaysia dianggap pasukan pilihan.
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, setiap perlawanan ditempuhi Harimau Malaya cukup penting bagi mempersiapkan pasukan menjelang Piala Asia 2023 di Qatar, tahun depan.