SINGAPURA – Bekas menteri alam sekitar dan perubahan iklim Kanada, Catherine McKenna memuji nasi lemak Singpura sebagai sarapan paling lazat di negara itu di Twitter sehingga menyebabkan tindak balas daripada netizen Malaysia, lapor laman berita Today semalam.
Dalam ciapan pada 6 Jun lalu, McKenna berkongsikan gambar sarapan paginya beserta kapsyen: “Nasi lemak! Sarapan paling lazat di Singapura”.
Dia menyiarkan imej sepinggan nasi lemak yang dihidangkan dengan potongan ayam dan sekeping telur, ikan bilis serta keropok.
Namun, netizen Malaysia pantas mengeluarkan komen balas mengenai hidangan itu dan membayangkan bahawa nasi lemak versi Malaysia adalah lebih baik dalam akaun Twitter McKeena.
Perdebatan lama mengenai makanan kedua-dua negara itu kembali tercetus apabila netizen Malaysia merasakan nasi lemak yang dimakan McKeena sedikit, hidangannya kelihatan hambar dan sambalnya kelihatan seperti sos tomato.
Sebagai tindak balas kepada komen bertubi-tubi netizen, McKenna menjelaskan: “Nampaknya, saya telah menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia yang menyatakan nasi lemak adalah masakan Melayu dan lebih sedap di sana (Malaysia). Saya tidak berkata bahawa saya tidak bersetuju. Saya perlu pergi ke Kuala Lumpur tidak lama lagi dan merasakannya sendiri!”
Dia bagaimanapun bersetuju bahawa nasi lemak yang dimakannya sangat sedikit dan sambal tidak mencukupi. – Agensi