SEBERANG PERAI – Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas pertuduhan membunuh dua lelaki dalam kejadian di Jalan Song Ban Kheng di sini, minggu lalu.
Tertuduh, Tan Chew Heng, 66, mengangguk faham pertuduhan terhadapnya yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan. Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Tu Soon Ee, 79, di Lot 521, Mukim 15, Jalan Song Ban Kheng, dalam kawasan Seberang Perai Tengah antara pukul 1.45 petang hingga 6.30 petang, 6 Jun lalu.
Chew Heng juga dituduh membunuh M. Murugason, 58, di lokasi sama antara pukul 1.45 tengah hari pada 6 Jun hingga 12.01 tengah malam pada 8 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 11 September depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan forensik dan kimia. – KOSMO! ONLINE