BANGKOK – Seorang lelaki berusia 58 tahun mati ditembak oleh kekasih bekas isterinya dalam satu pergaduhan di sebuah kedai di daerah Chorakhe, lapor laman berita Thaiger semalam.
Menurut bekas isteri mangsa yang cedera dalam pergaduhan tersebut, mereka telah berpisah lebih 10 tahun lalu. Namun, mangsa sering mengekorinya sejak lelaki itu mengesyaki dia mempunyai pasangan baharu.
Pada hari kejadian, mangsa dikatakan bersemuka dengan wanita itu dan kekasih baharunya, mengakibatkan pertengkaran yang hebat berlaku.
Mangsa kemudian menggunakan senjata tajam untuk menyerang kekasih wanita itu dan turut mencederakannya.
Kekasih baharunya itu kemudian bertindak mempertahankan diri dan mengeluarkan pistol yang didaftarkan secara sah serta melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa sehingga dia mati di tempat kejadian. – Agensi