SHAH ALAM – Elemen pergaduhan, dendam dan kongsi gelap merupakan motif disiasat berhubung kejadian seorang lelaki yang mati ditembak berhampiran balai polis Sungai Jarom, Kuala Langat dekat sini, bulan lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati mangsa juga terlibat dalam aktiviti pemerasan serta kegiatan lain melibatkan kongsi gelap.
Katanya, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut termasuk mengumpul keterangan selain beberapa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) juga telah dianalisis pihaknya.
“Kita ada beberapa motif sama ada pergaduhan dan juga dendam atau aktiviti kongsi gelap.
“Polis juga percaya mangsa juga salah satu ahli kongsi gelap yang terlibat dalam kegiatan-kegiatan pemerasan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan penutupan program kesedaran autisme Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor, hari ini.
Beliau menambah, setakat ini pihaknya telah merakam keterangan daripada 18 individu dengan dua lelaki telah ditangkap pada 23 Mei lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Jelas Hussein, siasatan lanjut masih dijalankan dalam mengumpul keterangan sebelum pertuduhan boleh dilakukan pihaknya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang lelaki yang mempunyai 13 rekod lampau mati ditembak berhampiran balai polis Sungai Jarom, Kuala Langat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam pada 18 Mei lalu, mangsa berusia 39 tahun maut di lokasi kejadian dengan empat kesan tembakan di kepala. – KOSMO! ONLINE