BUKIT KAYU HITAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyerbu sebuah stor di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, di sini yang dijadikan lokasi untuk menyimpan diesel bersubsidi untuk diselewengkan.
Pengarahnya, Affendi Rajini Kanth berkata, serbuan kira-kira pukul 11.30 pagi semalam itu dibuat hasil risikan pegawai penguat kuasanya.
“Serbuan ke atas stor tanpa tuan itu menemui dua kontena berkunci dan tong fiber yang diletakkan di kawasan lapang di dalam premis tersebut.
“Pemeriksaan lanjut mendapati dua kontena berkenaan masing-masing mengandungi sebuah tangki berisi diesel beserta seunit pam dispenser dan sebuah tangki dan pam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, pegawai penguat kuasa seterusnya bertindak menyita barang-barang berkenaan kerana disyaki digunakan untuk penyelewengan diesel.
“Jumlah diesel yang disita dianggarkan sebanyak 7,200 liter bernilai kira-kira RM15,480, manakala nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM37,240,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE