EMPAT kumpulan rock legenda tanah air iaitu XPDC, Rusty Blade, May dan Babylon akan berpadu tenaga dalam sebuah persembahan diberi judul Konsert Lagenda Rock Vol. 1.
Konsert anjuran Mutiara Optimum Sdn. Bhd. tersebut akan berlangsung pada 16 Julai depan di Mega Star Arena, Sg. Wang Plaza Kuala Lumpur.
Mewakili penganjur, Adam Hanafi Masdi selaku Pengarah Urusan Mutiara Optimum menjelaskan penyatuan empat kugiran legenda terbabit pasti memeriahkan Konsert Lagenda Rock Vol. 1 dengan persembahan hebat lewat untaian lagu yang tidak asing buat penggemar muzik rock.
Kahwinkan empat band ‘otai’
“Kami sangat berbesar hati dan bangga untuk membawakan Konsert Lagenda Rock Vol. 1 dengan barisan empat kugiran legenda tanah air.
“Ini adalah ‘perkahwinan’ pertama kali keempat-empat kumpulan rock legenda yang cukup berpengaruh. Mereka akan bermain di atas satu panggung.
“Tidak mahu kongsi banyak, namun percayalah, Konsert Lagenda Rock Vol. 1 akan menjadi konsert bersejarah bukan sahaja untuk pemuzik tetapi para peminat yang sudah lama tidak dapat menyaksikan gabungan band rock dalam sebuah persembahan,” ujar Adam Hanafi.
Pertama selepas Mael ‘pergi’
Konsert berkenaan akan menjadi pentas sulung buat XPDC dalam skala besar selepas bekas vokalis, Allahyarham Mael meninggal dunia pada 27 April lalu.
Biarpun Allahyarham sudah tidak lagi bersama XPDC dan empayar kumpulan itu diteruskan Ali sebagai vokalis.
Api memori menerusi lagu-lagu seperti Titian Perjalanan, Semangat Yang Hilang dan banyak lagu malar segar lain kumpulan terbabit tetap membara.
“Kami bukan cuba ambil kesempatan terhadap pemergian Allahyarham Mael tetapi XPDC wajib ada dalam Konsert Lagenda Rock Vol. 1
“Apalah erti rock atau metal dan sesebuah konsert tanpa kugiran prolifik seperti XPDC,” ujar Adam lagi.
Sementara itu, vokalis band otai Rusty Blade iaitu Yantzen berkata, penganjuran konsert tersebut membuktikan muzik rock dan metal tidak pernah mati dan akan terus ‘bernyawa’.
“Rusty Blade sendiri sudah lama tidak muncul dengan album baharu. Tapi kewujudan dan bagaimana karya terus ‘menghijau’ adalah bukti bahawa rock tidak pernah mati.
“Seperti mana banyak mengaitkan rock adalah legenda, karya-karya kami juga malar segar dan masih menjadi siulan zaman demi zaman,” katanya.
May dan vokalis baharu
Tanggal 16 Julai kelak juga bakal menyaksikan aksi May bersama dengan vokalis baharu mereka, Kelvin Thein yang menggantikan posisi penyanyi utama lama, Muss.
“Tidak sabar rasanya untuk menggegarkan pentas konsert. Sekarang, sudah 50 peratus lagu May sudah dihafal.
“Ada orang persoalkan keberadaan saya bersama May disebabkan jurang usia yang sangat jauh, namun saya akan buktikan pada persembahan nanti,” ujar lelaki peranakan Baba Nyonya berusia 29 tahun itu.
Sebarang maklumat pembelian tiket boleh didapati menerusi laman sesawang, www.myticket.asia.