KUALA LUMPUR – Satu daripada dua perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi atau aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dijangka beroperasi tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan, kementerian beliau telah mengarahkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk memastikan kerja-kerja menaik taraf sistem serta membina aerotrain yang baharu itu siap mengikut jadual atau lebih awal.
“Tren ini mengalami ‘end of life’, sudah berkhidmat 25 tahun. Keputusan untuk menggantikan tren ini sepatutnya dilaksanakan lebih awal, namun atas kelewatan membuat keputusan tersebut menyebabkan kita terpaksa hentikan perkhidmatannya.
“Perkara ini kita tahu memang memberi imej buruk kepada negara kerana ia merupakan pintu masuk negara dan saya telah memberi tekanan kepada MAHB supaya ia dilaksanakan mengikut jadual dan mesti diawalkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang ingin tahu berkenaan langkah kerajaan dalam mengatasi masalah perkhidmatan aerotrain di KLIA yang memberi impak terhadap proses ketibaan pelancong.
Tambah Anthony, projek aerotrain berkenaan bukan di bawah tanggungan Kementerian Pengangkutan tetapi dibiayai oleh MAHB, namun kelemahan yang berlaku perlu diperbaiki segera demi mengelakkan impak negatif kepada perkhidmatan pengangkutan awam di pintu masuk negara itu. – KOSMO! ONLINE.