fbpx

Danial Syahmi ganti Damok di Moto3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DANIAL SYAHMI (kiri) akan menggantikan Damok yang mengalami kecederaan retak tulang rusuk pada GP Jerman nanti.

PELUMBA muda negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril sah akan membuat penampilan pertama di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto3 untuk menggantikan tempat Syarifuddin Azman.

Syarifuddin atau dikenali sebagai Damok tidak dapat meneruskan aksi di Grand Prix (GP) Itali pada Ahad lalu selepas mengalami kecederaan retak tulang rusuk ketika sesi latihan bebas kedua apabila terlibat dalam insiden kemalangan. 

Disebabkan kecederaan tersebut, Damok disahkan tidak cergas untuk diturunkan dan terlepas untuk beraksi menjelang GP Jerman yang berlangsung pada hujung minggu ini sekali gus membuka ruang buat Danial Syahmi menggantikannya.

“Saya amat gembira dengan berita ini dan ini merupakan ‘debut’ pertama saya di Moto3. Saya akan menggunakan peluang ini dan akan beraksi sehabis baik dengan memberikan prestasi yang bagus. 

“Saya ingin berterima kasih kepada MT Helmets-MSi, SIC Racing, ZK Racing, dan Junior Talent Team di atas peluang ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Danial ketika ini bersaing di dalam Kejuaraan FIM JuniorGP dan juga Red Bull MotoGP Rookies Cup telah membuat penampilan pertama musim ini di JuniorGP yang bertempat di Jerez pada dua minggu lalu selepas pulih dari kecederaan buku lali . 

Danial menunjukkan aksi cemerlang apabila berjaya menempatkan diri di tempat kelapan pada perlumbaan pertama dan tempat ke-15 pada perlumbaan kedua dan berjaya meraih 10 mata pertama untuk kedua-dua perlumbaan.

Dalam saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup di Mugello, Danial menamatkan perlumbaan pertama dan kedua di tempat kelapan dan 14 sekaligus berjaya mengutip mata pada kedua-dua perlumbaan untuk berada di kedudukan ke-16 keseluruhan dengan 23 mata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI