PETALING JAYA – Kurang 24 jam selepas disahkan bercerai dengan pengarah Syamsul Yusof, pelakon Puteri Sarah Liyana mengakui pernah berasa benci untuk merasai momen perpisahan dan kehilangan sesuatu dalam hidupnya.
Menurut pemilik nama penuh Puteri Sarah Liyana, 38, sebelum ini dia terlalu takut untuk melepaskan sesuatu kerana enggan menamatkan sesuatu yang dimiliki.
“Dulu saya sangat takut untuk melepaskan dan benci perpisahan. Dulu saya benci mengakhiri sesuatu.
“Dulu saya sangat takut betapa sakitnya hati saya ketika mereka tidak ada lagi dalam hidup saya,” katanya dalam satu hantaran Instagram hari ini.
Tambah pelakon drama Andai Itu Takdirnya, dia juga kini akhirnya percaya bahawa dalam setiap pengakhiran mempunyai alasan tersendiri.
“Saya memiliki banyak pertanyaan bagaimana, jika dan apa yang akan terjadi kemudian, di situlah kesalahan saya selama ini, takut akan segalanya.
“Namun sekarang saya mengerti bahawa sesuatu yang berakhir atau tidak berhasil pasti ada alasan. Kamu juga tahu bahawa melepaskan itu indah,” ujarnya.
Kongsinya lagi, perpisahan dan kehilangan juga mengajarnya percaya bahawa setiap perkara yang berlaku adalah ketentuan daripada Allah SWT.
Bahkan, semua kesakitan yang dirasai juga perlu dilalui dengan kesabaran kerana akan ada kemanisan di sebaliknya.
“Kadang-kadang terasa sulit tetapi selalu ingatkan dirimu bahawa setiap yang berlaku atas izin-Nya. Lepaskanlah hal-hal yang telah menyakitimu.
“Bersabarlah dalam prosesnya kerana dalam setiap kesabaran, pasti ada hal yang indah menantimu,” kongsinya lagi.
Hari ini, rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah akhirnya terlerai selepas enam bulan bergelut turun naik mahkamah selepas pengarah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu melafaz talak satu berjumlah dua di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Biarpun berpisah, pengarah sensasi itu menegaskan tetap akan berkawan baik dengan bekas isterinya demi masa depan dua anak mereka.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah kini berusia empat tahun.- KOSMO! ONLINE