fbpx

‘Calling centre’ pelaburan tidak wujud diserbu, enam diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KAJANG – Sebuah rumah yang dijadikan sebagai ‘calling centre’ atau pusat panggilan bagi pelaburan tidak wujud terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, seramai empat lelaki dan dua wanita berusia 25 hingga 38 tahun ditahan dalam serbuan dijalankan Bahagian Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman.

“Kesemua ditahan membabitkan lima warga tempatan dan seorang warga China. Polis merampas sebanyak 19 buah telefon bimbit, empat buah komputer riba, dua router internet dan satu set kunci rumah.

“Siasatan mendapati pusat panggilan ini disyaki menjalankan kegiatan penipuan online dengan menawarkan pelaburan saham di China yang tidak wujud.

“Mereka menyasarkan mangsa dalam kalangan warga China,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zaid, sindiket ini menggunakan akaun palsu Snowball Finance (Xueqiu) untuk mencari mangsa di China seterusnya menawarkan pelaburan online.

“Xueqiu adalah sebuah laman web yang merupakan antara rangkaian sosial kewangan paling popular dalam kalangan pelabur di China.

“Kelima-lima suspek dibawa ke Mahkamah Kajang bagi tujuan permohonan reman,” ujarnya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaann.

Tegas Zaid, orang ramai diingatkan agar tidak bekerja dengan sindiket penipuan atas talian dan menjadikan pekerjaan di pusat panggilan penipuan atas talian sebagai sumber pendapatan.

Kata beliau, pekerjaan seperti ini adalah satu kesalahan jenayah dan mereka yang terlibat boleh dituduh di mahkamah.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan pusat panggilan boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114242.

“Justeru itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan atas talian agar tidak terperdaya dengan tipu helah kegiatan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI