fbpx

Bebanan kerja, tak mahir komputer punca guru bersara awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KPM merekodkan seramai 6,890 pegawai dalam sektor perkhidmatan pendidikan memohon untuk bersara lebih awal atas pelbagai faktor. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Bebanan tugas pendidik selain sistem pendigitalan secara dalam talian yang tidak mampu dikuasai ter­utama dalam kalangan guru lama antara faktor ramai warga pendidik memohon untuk bersara awal.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, perkara itu antara isu yang sekian lama diperkatakan selain pernah diutarakan kepada Kementerian Pendidikan (KPM).

“Faktor terbesar memang beban tugas sebab mereka sudah tak sanggup berdepan dengan kerja-kerja tersebut. Kita tak boleh sekat mereka untuk bersara, tapi yang penting ada usaha mengurangkan beban tugas guru ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bahawa guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris antara yang pa­ling ramai memohon bersara awal berdasarkan rekod KPM sepanjang 2021 dan 2022.

Menurut Fadhlina, bilangan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang memohon persaraan pilihan berdasarkan enam opsyen utama tertinggi adalah Bahasa Melayu (2,862), Bahasa Inggeris (1,146), Mate­matik (1,015), Pendidikan Islam (755), Sains (629) dan Sejarah (483).

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pada masa ini diakui KPM mempunyai inisiatif dalam mengurangkan bebanan ditanggung oleh guru, namun keberkesanannya mungkin belum dapat dilihat lagi.

“Sudahlah bebanan tugas ditambah, tekanan guru-guru dengan sistem pendigitalan turut menjadi faktor,” katanya.

SISTEM pendidikan masa kini banyak berasaskan kepada teknologi maklumat. – GAMBAR HIASAN

Di Kuala Terengganu, Tereng­ganu, seorang bekas guru Bahasa Melayu nekad bersara awal setelah tidak mampu menguasai teknologi bagi tujuan pengajaran.

Bekas guru sebuah sekolah menengah di bandar raya ini yang hanya mahu dikenali sebagai Ramli, 58, berkata, dia menyedari tidak berupaya mengikut kehendak pengajaran semasa ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Saya mengakui tidak begitu mahir menggunakan komputer dan gajet lain sedangkan ia tuntutan pengajaran di dalam kelas pada masa kini.

“Saya akur untuk mengundur diri daripada profesion perguruan yang saya cintai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Ramli berkata, dia memilih untuk bersara awal dalam perkhidmatan perguruan pada tahun 2018.

Tambahnya, dia rela mengorbankan kerjayanya walaupun berpendapat pengajaran Bahasa Melayu lebih berkesan dengan kaedah konvensional.

“Saya tidak mahu mengecewakan harapan tinggi KPM dan pengurusan kanan sekolah,” katanya.

Di Langkawi, Kedah, seorang guru Bahasa Melayu yang bersara tahun lalu dikenali Rohani, 57, berkata, mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris merupakan subjek dengan waktu mengajar terbanyak.

“Kebiasaannya jumlah guru yang mengajar subjek lain adalah kira-kira separuh daripada jumlah guru yang mengajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

“Jadi pastinya saban tahun jumlah guru bahasa yang pencen juga adalah lebih ramai berbanding guru subjek lain,” katanya.

Rohani yang sebelum ini mengajar di sebuah sekolah kebangsaan di Shah Alam memberitahu, dia memilih untuk pencen awal kerana rasa beban mengajar yang meningkat berikutan peredaran zaman.

Jelasnya, murid generasi sekarang memerlukan cara pembelajaran yang banyak menggunakan teknologi yang tidak pernah digunakannya semasa dia masih di maktab perguruan.

“Saya agak sukar untuk mengajar dengan menggunakan teknologi sepenuhnya kerana gaya dan caranya jauh berbeza berbanding cara yang saya diajar dahulu,” ujarnya.

Di Kota Bharu, Kelantan, bekas guru, Noriha Yusoff, 56, berkata, dia sepatutnya bersara wajib dua tahun lagi, namun bersara pada tahun ini selepas tidak dapat mengikuti perkembangan teknologi maklumat.

Menurutnya, semua pembelajaran PdP ketika ini perlu disampaikan kepada murid-murid menggunakan rujukan menerusi komputer dan peranti elektronik.

“Saya perlu menggunakan komputer untuk setiap sesi pembelajaran. Keadaan itu menyebabkan saya agak tertekan apabila tidak dapat mengikuti perkembangan pengajaran kaedah tersebut.

“Saya boleh mengajar subjek Bahasa Inggeris dengan baik tanpa menggunakan komputer atau peranti. Apabila menggunakan alat bantuan mengajar itu, ia seolah-olah mengehadkan kemampuan saya untuk mengajar,”  katanya.

Noriha memberitahu, kaedah pembelajaran yang hanya menggunakan buku sebenarnya sudah cukup untuk memberi kefahaman kepada murid-murid terutamanya di peringkat sekolah rendah.

Katanya, beliau mengakui bahawa penggunaan komputer dan peranti semasa sesi PdP memberi lebih kefahaman selain pengetahuan kepada murid-murid.

“Cuma, kaedah itu tidak sesuai untuk saya. Jadi, lebih baik saya bersara awal untuk berehat selain dapat menguruskan keluarga sementara badan masih sihat,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI