fbpx

Rumah berharga lebih RM300,000 hingga RM1 juta paling banyak dibina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Hampir 75 peratus daripada rumah baharu yang dilancarkan bagi suku pertama tahun ini berharga antara RM300,001 hingga melebihi RM1 juta seunit.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ia melibatkan sebanyak 1,482 unit (31.8 peratus) bagi rumah berharga RM300,001 hingga RM500,000 serta 1,663 unit (35.7 peratus) untuk kediaman berharga RM500,001 hingga RM1 juta.

“Bagi rumah berharga atas RM1 juta pula dengan 323 unit (6.9 peratus),” katanya menerusi jawapan lisan dimuat naik pada laman web Parlimen semalam.

Kor Ming berkata demikian berhubung pertanyaan Lee Chuan How (Ipoh Timor-PH) yang meminta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan bilangan keseluruhan unit hartanah (perumahan) di seluruh Malaysia pada tahun ini mengikut perincian harta tanah dan strata.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, hanya 1,193 unit rumah atau 25.6 peratus yang dibina melibatkan harga bawah RM300,000.

Mengulas lanjut, katanya, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara bagi suku pertama tahun ini, bilangan unit rumah baharu dilancarkan adalah berjumlah 4,661 unit.

“Daripada jumlah tersebut, 3,985 unit atau 85.5 peratus adalah rumah jenis bertanah (landed) dan 676 unit atau 14.5 peratus adalah rumah jenis bertingkat (high rise).

“Tiga negeri dengan jumlah unit rumah baharu dilancar tertinggi pada suku pertama 2023 adalah Johor, Selangor dan Pahang iaitu masing-masing 2,077 unit, 791 unit dan 700 unit rumah,” jelasnya.

Ujarnya, berdasarkan Laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, terdapat sebanyak 9.6 juta unit kediaman di Malaysia.

“Ini adalah menunjukkan peningkatan berbanding 7.3 juta unit kediaman seperti dilaporkan dalam Banci Penduduk Dan Perumahan Malaysia 2010,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI