KLANG – Kualiti air Sungai Klang sebelum ini dikategorikan kelas lima kini meningkat kepada kelas tiga hingga satu menerusi projek pembersihan air sejak 2016.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pembersihan itu dilakukan menerusi dua unit Interceptor dalam ‘menangkap’ sampah sarap terutama sampah plastik.
“Ikut laporan sampah berkurangan, bau juga berkurangan. Sungai Klang yang dulu ada sesetengah tempat sampai tahap lima, sekarang tahap tiga sehingga ada peringkat terbaik iaitu kelas pertama kalau musim hujan.
“Peningkatan itu nampak dan menunjukkan pencapaian kerajaan negeri, pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan syarikat Landasan Lumayan Sdn. Bhd. (LLSB),” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat taman paya bakau Mangrove Point, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn. Bhd. (LLSB) Syaiful Azmen Nordin berkata, sebanyak 86,021 tan metrik sampah terapung berjaya dikeluarkan dari Sungai Klang sepanjang 2016 hingga Mac tahun ini.
Jumlah itu bersamaan seberat 470 pesawat Boeing 747 berjaya dikeluarkan dari Sungai Klang sepanjang 2016 hingga Mac tahun ini.
“Pengurangan pengeluaran sampah tahunan sebanyak 63 peratus antara 2016 dan 2022 melepasi Indeks Prestasi Utama (KPI) Fasa 1 yang meletakkan sasaran pengurangan sebanyak 40 peratus.
“Pada 2022, projek itu menyaksikan pengeluaran 6,117 tan metrik sampah terapung sebulan berbanding garis dasar pada 2016 sebanyak 16,408 tan metrik sebulan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE