LONDON – Tottenham Hotspur dilaporkan sedang menyiapkan dana sebanyak £50 juta (RM290.81 juta) untuk ditawarkan kepada Manchester United bagi mendapatkan pemain sayap mereka, Jadon Sancho.
Pemain berusia 23 tahun berkenaan muncul antara pemain terbaik di Bundesliga sebelum menyertai United dengan nilai £73 juta (RM424.58 juta) pada musim panas 2021.
Bagaimanapun, sehingga kini dia masih gagal membuktikan nilai perpindahannya sepadan dengan persembahan yang diberikan apabila berdepan isu konsistensi biarpun beraksi di bawah tiga pengurus berbeza.
Pemain antarabangsa England itu terlepas hampir sebahagian besar saingan awal musim ini apabila berdepan isu kesihatan mental, namun kembali berada dalam skuad United pada Februari lalu.
Sehubungan itu, Spurs yang kini dikemudi pengurus baharu, Ange Postecoglou dalam rancangan untuk membina semula pasukan itu dan menamakan Sancho sebagai sebahagia daripada projek musim baharunya.
Selain itu, Borussia Dortmund juga dilaporkan berhasrat untuk membawa Sancho pulang ke Signal Iduna Park, tetapi dengan status sebagai pemain pinjaman sahaja.
Namun, cadangan tersebut mungkin tidak dipersetujui oleh United yang sedang berusaha untuk meningkatkan dana mereka bagi mendapatkan beberapa pemain baharu yang menjadi buruan mereka
Bersama Dortmund sebelum ini, Sancho berjaya menghasilkan 50 gol dan 64 umpanan jaringan dalam 137 aksi, namun di Old Trafford, dia hanya meledak 12 gol dan enam umpanan gil dalam 79 penampilan. – AGENSI