PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) digesa mempertingkat risikan dan pemantauan di semua pintu masuk negara susulan kejayaan membanteras dua kes penyeludupan antarabangsa berskala besar pada awal bulan ini.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dua kes itu didapati menjadikan Malaysia sebagai transit dan ia sangat memeranjatkan selain memburukkan nama Malaysia di peringkat perkastaman dunia.
Beliau berkata, kerajaan memandang serius kes penyeludupan antarabangsa itu dan akan melihat lebih lanjut dimana ketirisan yang berlaku.
“Dari segi untuk menuduh berlaku amalan rasuah dalam kes penyeludupan itu, ia memerlukan tindakan teliti namun, pada saya usaha meningkatkan integriti dalam JKDM sentiasa berlaku.
“Saya tidak salahkan pegawai kastam ada terlibat dan sebagainya tapi ia adalah sindiket antarabangsa yang hebat,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Program Authorised Economic Operator (AEO) di sini, hari ini.
Katanya, beliau berpandangan JKDM masih sebuah agensi berintegriti kerana jika tidak, kes penyeludupan antarabangsa itu tidak berjaya dibanteras.
Ahmad berkata, beliau juga mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (SPA) supaya mempertimbang segera penambahan perjawatan dalam JKDM bagi mengatasi kekangan dihadapi agensi itu khususnya di pintu sempadan negara.
“Walaupun berdepan kekangan tugas dan kakitangan namun, JKDM masih mampu melaksanakan tugas dengan baik selain mampu meningkatkan hasil negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, pihaknya akan terus meningkatkan kerjasama dan risikan dengan pihak kastam negara lain bagi menghalang aktiviti penyeludupan antarabangsa pada masa depan.
“Kami juga akan bekerjasama dengan Pejabat Jenayah dan Dadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) dan Interpol bagi tujuan yang sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE