ALOR SETAR – Rundingan untuk memuktamadkan pengagihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah akan diadakan pada minggu hadapan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, setakat ini cuma terdapat tiga atau empat kerusi sahaja yang perlu dibincangkan.
“Bagi saya tiada masalah besar dalam perbincangan ini kerana kita ada titik persamaan iaitu mahu memastikan Kedah dipimpin kerajaan sama dengan Persekutuan.
“Apabila kita berpegang kepada slogan ‘kalih bagi sama’ untuk membentuk kerajaan yang sealiran di Kedah dan Persekutuan, maka mudahlah untuk kami berbincang dan berunding,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bakul Makanan Kepada Golongan Asnaf Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena di Dewan PPK Pokok Sena, di sini hari ini.
Katanya, rundingan tersebut tidak sukar kerana hubungan antara kedua-dua gabungan itu dalam keadaan baik.
“Kalau ada sedikit bertentang, itu biasa dalam rundingan. Nak berunding buat kenduri kahwin pun bertengkar, inikan pula berkaitan isu pilihan raya tetapi rundingannya tidaklah sulit kerana hubungan kami tetapi baik dan semalam pun saya berceramah dengan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE