DUNIA permotoran terutama aktiviti berkonvoi selalunya sinonim dengan kaum lelaki, namun berbeza kali ini apabila 50 wanita kaki ‘ride’ dikumpulkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kelmarin.
Pemilik pasukan Pink Racing, Nur Atikah Azwar berkata, pihaknya mewujudkan program tersebut untuk menarik lebih ramai wanita untuk menunggang jentera motosikal dan bersama-sama terbabit dengan pelbagai aktiviti sihat.
Kata Atikah, 50 golongan wanita menyertai aktiviti konvoi bermotosikal tersebut dibawa untuk menyaksikan perlumbaan Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia selain turut diberikan baju khas.
“Program ini dinamakan RHP Lady Biker Happy Bag Ride. Aktiviti ‘ride’ ini bermula dari Dengkil ke Litar Antarabangsa Sepang dan sambutan juga amat menggalakkan.
“Kami mewujudkan aktiviti berkonvoi ini terutama khas kepada golongan wanita di luar sana kerana kita tahu ada penunggang wanita gemar aktiviti lasak seperti ini.
“Aktiviti seperti ini mengejutkan saya kerana mendapat penyertaan amat menggalakan mungkin disebabkan saya juga seorang wanita. Banyak aktiviti kami lakukan bersama-sama antaranya tinting time attack, swafoto paling banyak like, di samping siapa yang menyertai konvoi ini turut diberikan baju edisi khas dari Cubprix sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Atikah berkata, sekiranya ada golongan wanita yang berminat untuk menyertai aktiviti konvoi seperti itu pihaknya bersedia untuk mengadakannya lagi pada pusingan seterusnya.
“Aktiviti konvoi bermotosikal ini tidak terhenti di Sepang sahaja, malah kita juga bercadang untuk mengadakan menjelang perlumbaan pusingan seterusnya yang bakal diadakan di Terengganu nanti.
“Golongan kaki ride yang bersedia untuk sertai kami, nantikan pengumuman yang kami akan buat terutama di laman sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram mahupun di Tiktok juga,” ujarnya.