BUKAN bunuh diri atau pemergiaan yang meninggalkan tanda tanya kepada peminat seperti sering berlaku sebelum ini, dunia hiburan Korea Selatan, dikejutkan dengan kematian pelakon popular Park Soo-ryun
akibat cedera parah selepas terjatuh dari tangga.
Pelakon berusia 29 tahun itu kemudiannya dikejarkan ke hospital, sebelum disahkan meninggal dunia, kelmarin akibat kegagalan fungsi otak.
Pemergian Ryun adalah berita mengejutkan bukan saja buat keluarganya, tetapi juga peminatnya.
Berdasarkan laporan media Korea Selatan, ibunya memaklumkan bahawa jantungnya masih berfungsi, namun otaknya gagal berfungsi.
Difahamkan, keluarganya bersetuju untuk mendermakan organ Ryun kepada mereka yang memerlukan.
“Pasti ada insan yang amat memerlukan organ. Sebagai ibu dan bapa, kami rasa tenang sekiranya organnya diberikan kepada insan yang memerlukan, ” katanya.
Sepanjang hayat, Soo-ryun dikenali sebagai penyanyi turut membintangi beberapa drama antaranya Siddhartha, Finding Mr Destiny, The Days We Loved dan banyak lagi.
Paling meninggalkan kesan adalah lakonannya dalam Snowdrop pada 2021 bersama-sama anggota Blackpink, Jisoo dan Jung Hae In.
Soo Ryun sepatutnya ke Pulau Jeju, semalam untuk membintangi drama muzikal terbaharunya.
Acara penghormatan terakhir Soo Ryun diadakan di Hospital Suwon, Gyeonggi Provincial Medical Centre, manakala upacara pengebumian dilaksanakan, hari ini. – KOSMO! ONLINE