fbpx

Paras empangan Air Itam mula tunjuk peningkatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Paras air di empangan Air Itam meningkat pada tahap 48.6 peratus berbanding 47 peratus minggu lalu.

GEORGE TOWN – Paras empangan Air Itam di sini mula menunjukkan peningkatan susulan berlakunya hujan di kawasan empangan berkenaan baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, setakat semalam, paras empangan Air Itam adalah pada tahap 48.6 peratus berbanding 47 peratus pada minggu lalu.

“Semalam, kita laksanakan operasi pembenihan awan dan boleh dikatakan operasi berkenaan berjaya mencetuskan hujan serta membantu meningkatkan paras empangan Air Itam.

“Hujan yang turun membantu kenaikan paras air di empangan Air Itam iaitu kenaikan sekitar satu peratus,” katanya dalam sidang akhbar di Komtar, di sini hari ini.

Sebelum ini, pada awal Mei lalu, media melaporkan simpanan air Empangan Air Itam, di Pulau Pinang hanya mampu bertahan untuk 40 hari manakala Empangan Teluk Bahang pula (146 hari) susulan cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini.

Setakat 8 Mei, Empangan Air Itam merekodkan paras 41.5 peratus manakala empangan Teluk Bahang pada paras 48.1 peratus.

Susulan daripada penurunan paras empangan Air Itam dan Teluk Bahang itu, kerajaan negeri memohon bantuan untuk menjalankan operasi pembenihan awan bagi membantu mencetuskan hujan di kawasan tadahan air tersebut.

Menurut Zairil, paras air di empangan Teluk Bahang kekal iaitu berada pada paras 44.2 peratus setakat semalam, iaitu sama dengan paras pada minggu lalu.

“Kemungkinan kerajaan negeri akan memohon untuk melaksanakan pembenihan awan lagi, ia bergantung kepada keadaan cuaca terkini, jika sudah masuk musim hujan mungkin kita tidak lagi perlu operasi pembenihan awan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Zairil memaklumkan pemasangan Smart Meter di Pulau Pinang akan bermula pada 15 Jun disekitar kawasan Pulau Tikus, Tanjung Tokong seterusnya ke kawasan-kawasan lain secara berfasa.

“Pemasangan dan penggantian meter tersebut akan dilakukan oleh pihak juruteknik dan vendor TNB di mana setiap unit yang terlibat dijangka akan mengalami gangguan bekalan elektrik semasa pemasangan dijalankan.

“Anggaran gangguan di antara 30 minit hingga satu jam bagi setiap unit dan setiap unit akan menerima notis pemasangan smart meter dan borang B (gangguan bekalan elektrik) sebelum pemasangan dijalankan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI