SUNGAI BULOH – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja telah memperluaskan Panduan Belanjawanku meliputi 11 lagi bandar utama di seluruh negara.
Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, panduan itu memperincikan perbelanjaan minimum mengikut kategori isi rumah (bujang, keluarga atau warga emas) dan menyediakan cadangan mengenai peruntukan perbelanjaan, perbelanjaan pilihan serta simpanan persendirian.
Beliau berkata, aplikasi Belanjawanku yang dibangunkan sendiri oleh pasukan KWSP telah dimuat naik di semua gedung aplikasi pada Ogos 2022.
Jelasnya, aplikasi itu menerapkan ciri-ciri interaktif seperti rekod perbelanjaan dan had yang ditetapkan untuk setiap kategori perbelanjaan.
“Di samping itu, bagi yang ingin menguruskan perbelanjaan dengan lebih flesksibel, mereka boleh menetapkan bajet persendirian masing-masing, sama ada mengikut saranan Belanjawanku atau menggunakan pendekatan “Rule of Thumb”.
“Sehingga Mei 2023, aplikasi Belanjawanku telah merekodkan jumlah muat turun sebanyak 12,000,” katanya pada Majlis Pelancaran Panduan dan Aplikasi Belanjawanku di Menara KWSP, Kwasa Damansara di sini hari ini.
Tambah beliau, Panduan Belanjawanku telah diguna pakai oleh pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP dalam memberikan bimbingan dan nasihat kewangan kepada ahli.-KOSMO! ONLINE