fbpx

Nilai eksklusif, sentuhan kreatif beg buatan tangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAI HUNG menggunakan ilmu teknologi rekaan fesyen yang ditimba di universiti dengan menjahit sendiri beg-beg tangan yang kreatif.

MENGGAYAKAN beg buatan tangan semestinya memberikan kepuasan yang berbeza kepada seseorang memandangkan aksesori sedemikian lazimnya lebih eksklusif kerana tidak dihasilkan dalam kuantiti yang banyak.

Minat terhadap jahitan sejak berusia 10 tahun mendorong seorang jejaka untuk menghasilkan tas tangan buatan tangan yang seterusnya dijadikan sebagai punca pendapatan.

Chew Kai Hung, 24, belajar menjahit daripada kedua-dua ibu bapanya sebelum mula mendapatkan pendidikan formal dalam bidang fesyen dari sebuah universiti tempatan.

“Saya mula menjahit sejak umur 10 tahun. Ibu mengajar saya jahitan tangan, manakala bapa pula mengajar saya menggunakan mesin jahit.

“Saya kemudian meneruskan hobi menjahit dengan mempelajari cara menjahit mudah beg dengan menonton tutorial di YouTube dan catatan blog, sebelum melanjutkan pelajaran dalam peringkat diploma bagi jurusan teknologi rekaan fesyen,” katanya kepada Stailo.

Warna-warni, bold dan elegan menjadi elemen utama yang digarap dalam rekaan Kai Hung.

Selepas menamatkan pengajiannya pada tahun 2020, Kai Hung memilih untuk menjual tas tangannya menerusi platform online dan menjadikannya sebagai punca pendapatan.

Tambah jejaka yang menetap di Pulau Pinang itu, gaya beg yang dipertaruhkannya adalah bold, elegan dan berwarna-warni. Kai Hung juga berkata, inspirasi rekaannya itu banyak diambil daripada rekaan fesyen sedia ada dan juga hidupan alam seperti cangkerang.

“Kebanyakan rekaan saya akan berasaskan kulit tiruan atau kain. Saya paling menyukai warna-warna terang ataupun fabrik yang unik seperti batik, tweed dan juga renda.

“Rekaan saya juga diilhamkan oleh beberapa elemen lain, seperti rekaan pakaian fesyen, alam semula jadi serta pakaian yang diperagakan dalam filem,” katanya yang juga pernah menghasilkan beg berdasarkan bahan yang terdapat dalam alam semula jadi seperti corak daun yang menjadi rekaan paling disukainya.

Corak ruffles
yang biasanya terdapat pada gaun turut diterapkan pada salah satu rekaan tas tangannya.

Bagi Kai Hung, dia seronok apabila dapat menggunakan pengetahuan dan teknik yang dipelajarinya dalam dunia fesyen untuk menghasilkan rekaan seperti beg dengan corak ruffles yang lazimnya dilihat pada sepasang gaun.

Koleksi tas tangan Kai Hung boleh didapatkan menerusi laman Instagram dan juga TikTok miliknya pada harga antara RM180 hingga RM400 mengikut jenis.

“Biasanya, saya akan mencipta rekaan individu dan tidak mereka koleksi penuh seperti jenama-jenama besar.

“Semua rekaan saya boleh dilihat di laman sosial saya, namun saya menerima customisation yang mana pelanggan boleh menukar warna, saiz dan juga bahan beg yang dipesan.

“Buat masa ini, kebanyakan beg saya adalah pre-order (pratempahan) dan saya hanya akan membuat beg tangan ready stocks hanya apabila berkelapangan,” ujarnya.

Mengakui kualiti jahitan dan rekaannya bertambah baik berbanding ketika mula-mula menjual beg secara online kira-kira tiga tahun lalu, Kai Hung berkata, dia berhasrat untuk terus menambah baik rekaannya, selain terus kekal dengan identiti sendiri bagi memastikan labelnya semakin dikenali ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI