MEKAH – Bacaan doa diiringi dengan nyanyian lagu Negaraku menjadi pembuka tirai bagi menzahirkan rasa syukur ketika rombongan Tabung Haji (TH) membuat lawatan ke lapangan masyair yang didapati sudah 60 peratus siap.
Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, beliau berpuas hati dengan perkembangan persiapan di Arafah, Muzdalifah dan Mina yang akan menjadi kemuncak untuk melengkapkan rukun haji bagi kesemua 31,600 jemaah.
Katanya, tapak khemah di tiga lokasi itu akan 100 peratus siap sebaik jemaah pertama memasuki kawasan berkenaan bermula 8 Zulhijjah bersamaan 27 Jun ini.
“Persiapan awal telah dilakukan beberapa minggu lalu oleh pihak masyariq, Arab Saudi dan beberapa agensi tertentu.
“Setakat ini TH berpuas hati dengan perkembangan penyediaan khemah, bekalan elektrik, air, sajian makanan, tandas, pendingin hawa dan sebagainya yang sudah mencapai 60 peratus siap,” katanya selepas membuat tinjauan di sini semalam.
Menurut Syed Saleh, seperti kebiasaan, ruang untuk menempatkan jemaah adalah terhad ekoran kuota penuh yang diberikan Arab Saudi bagi musim haji tahun ini.
Tambahnya, ia ditambah dengan cuaca panas yang sudah tentu memberikan cabaran kepada semua orang, namun TH sentiasa peka dan mambantu jemaah untuk menjaga kesihatan mereka.
“Kita juga mempunyai klinik di sini untuk memberikan rawatan selain ambulans yang akan membawa mereka ke hospital berdekatan sekiranya memerlukan pemeriksaan lanjut,” katanya.
Sementara itu, satu majlis solat hajat dan bacaan Yasin diadakan pada malam tadi sempena munajat 60 tahun TH dan memohon kelancaran operasi masyair. – KOSMO! ONLINE