BACHOK – Pelajar cemerlang, Muhammad Syahril Saidi, 18, yang memperoleh keputusan 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 meskipun menjaga arwah ibunya yang terlantar sakit menerima lebih 10 tawaran untuk menyambung pengajian dan biasiswa.
Muhammad Syahril berkata, dia tidak pernah menyangka akan menerima banyak tawaran daripada pelbagai pihak yang ingin membantunya untuk menyambung pengajian menara gading.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan tidak menyangka akan menerima tawaran yang tidak putus-putus daripada pelbagai pihak sehingga saya sendiri tidak tahu untuk memilih tawaran yang sesuai.
“Setakat ini, saya menerima tawaran untuk menyambung pengajian dan biasiswa termasuk daripada Petronas, Majlis Amanah Rakyat (Mara), kerajaan negeri, dan beberapa universiti awam,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kandis di sini hari ini.
Muhammad Syahril memberitahu, setakat ini, dia masih belum membuat sebarang keputusan dan akan berbincang bersama keluarga termasuk guru bagi memilih tawaran yang sesuai untuk menyambung pengajiannya.
Bagaimanapun, katanya, jauh di dasar hatinya, dia berhasrat untuk menyambung pengajian ke luar negara dalam jurusan yang berkaitan dengan Bahasa Arab.
“Sebelum ini, saya ingin meneruskan pengajian di Maahad Yaakubiah Kampung Nipah, Bachok untuk mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kerana ingin menjaga ibu yang sakit.
“Selepas kematian arwah ibu, Tuan Faridah Tuan Ismail,53, perancangan saya mungkin berubah selepas mendapatkan pandangan keluarga dan guru yang lebih berpengalaman,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah.
Dalam pada itu, Muhammad Syahril berkata, kejayaannya pada SPM 2022 baru-baru inu merupakan berkat sokongan daripada seluruh ahli keluargan dan sanak saudara yang sentiasa membantunya.
“Saya amat berterima kasih kepada semua yang berada di belakang saya terutamanya adik-beradik, ibu dan bapa saudara yang banyak memberi sokongan selain membantu menguruskan ibu sepenuhnya ketika saya ke sekolah.
“Tanpa dorongan mereka, saya pasti tidak mampu untuk menghadapi situasi ini seorang diri. Bagi saya, dalam hidup ini kita perlu mementingkan adab melebihi ilmu,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, keputusan cemerlang yang diperoleh Muhammad Syahril dalam SPM 2022 adalah hadiah paling bermakna buat ibunya yang terlantar akibat penyakit angin ahmar sebelum menghembuskan nafas terakhir pada malam Sabtu lalu.
Pencapaian Muhammad Syahril juga telah memenuhi hajat ibunya untuk melihat anaknya itu memperoleh keputusan terbaik dalam SPM selepas berkorban menjaganya sejak empat tahun lalu.
Kisah Muhammad Syahril sebelum ini tular di media sosial selepas pengorbanannya menjaga libunya akhirnya berbalas apabila berjaya memperoleh keputusan 11A dalam SPM pada Khamis lalu. – KOSMO! ONLINE