fbpx

Mahkamah: Bekas kontraktor didakwa tujuh pertuduhan pernyataan palsu mesin pemerah susu dan lembu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang bekas kontraktor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh tuduhan berhubung penghantaran dan invois mengandungi pernyata palsu berhubung pembekalan mesin pemerah susu dan lembu yang keseluruhan bernilai RM3.7 juta.

Bagaimanapun tertuduh A.Dominic Antoni, 52, mengaku tidak bersalah selepas ketujuh-tujuh pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Dominic didakwa mengemukakan dua pesanan penghantaran yang mengandungi pernyataan palsu kepada Penolong Pegawai Veterinar membabitkan pembekalan bekas pemerah susu dan mesin penyejuk susu lembu yang kesemuanya berjumlah RM1.55 juta, yang sebenarnya tidak pernah dibekalkan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu
di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia di Wisma Tani, Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, di antara 5 Januari dan 25 Mac 2016.

Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam tertuduh didakwa mengemukakan pesanan penghantaran dan invois yang mengandungi pernyataan palsu berhubung pembekalan 441 ekor lembu yang mana 171 lembu bernilai RM1.96 juta tidak pernah dibekalkan, di tempat yang sama di antara 16 April 2015 dan 5 September 2017.

Sementara bagi pertuduhan ketujuh, tertuduh didakwa mengemukakan pesanan penghantaran yang mengandungi pernyataan palsu berhubung pembekalan tempat memerah susu bernilai RM350,000 yang mana sebenarnya tidak pernah dibekalkan, juga di tempat sama di antara 15 September 2015 dan 17 Disember 2015.

Kesemua tuduhan itu adalah mengikut seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum dibawah seksyen 24(2) Akta yang sama, memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwan Shah Abdul Samat manakala peguam Karthigesan Shanmugam yang mewakili Dominic.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin diikat jamin sebanyak RM150,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan melapor diri sebulan sekali di ibu pejabat SPRM di Sungai Petani, Kedah sehingga kes selesai.

Tarikh 12 Julai ini ditetapkan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI