Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
AKSI perlawanan persahabatan antarabangsa melibatkan Harimau Malaya dan Kepulauan Solomon pada malam ini dijangka bakal disaksikan lebih 20,000 peminat bola sepak.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata, beliau optimis gelanggang perlawanan itu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Nerus bakal dibanjiri ‘ekor sejati Harimau Malaya’ dari seluruh negara.
“Sambutan terhadap tiket perlawanan berharga RM30 setiap satu amat memberangsangkan.
“Saya percaya lebih ramai akan membelinya pada saat-saat akhir menjelang sepak mula aksi terbabit pada malam esok (ini),” katanya.
Noor Azman berkata, FAM percaya kehadiran ‘ekor sejati Harimau Malaya’ itu akan menyemarakkan lagi semangat anak buah Kim Pan-gon.
Jelas beliau, aksi menentang Kepulauan Solomon yang berada pada ranking 134 dunia itu penting sebagai persiapan Harimau Malaya untuk menghadapi Piala Asia.
“FAM juga mahu mendekati peminat bola sepak tempatan terutama yang menetap di Pantai Timur menerusi penganjuran Festival Harimau Malaya (FHM).
“Pelbagai aktiviti telah dirangka sehingga 20 Jun ini termasuk Sesi Townhall bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin pada esok,” katanya. – KOSMO! ONLINE