MEKAH – Dijemput menunaikan haji selepas bergelar muslim sejak 41 tahun lalu merupakan hadiah paling bernilai dalam hidup seorang lelaki selepas hatinya dibuka untuk memeluk Islam kerana laungan azan maghrib yang sering didengarinya.
Saiful Bahari Abdullah, 68, berkata, azan yang dikumandangkan bilal di sebuah masjid di Sentul Pasar Dalam, Kuala Lumpur itu begitu syahdu hinggakan dia akan berhenti seketika untuk menghayati setiap lafaznya.
Katanya, situasi itu berlaku hampir setiap hari ketika dia dalam perjalanan pulang dari sekolah sesi petang ke rumahnya di kawasan berhampiran.
“Suara bilal itu pun sedap didengar sampaikan saya hafal setiap bait azan. Ketika berusia 28 tahun, saya berjumpa dengan seorang imam dikenali sebagai Ghani yang pandai berbahasa Inggeris untuk mendengar nasihat dan mendapatkan pandangan mengenai agama Islam daripadanya.
“Ia membuatkan hati saya tak tertahan sebelum saya membulatkan tekad untuk memeluk Islam melalui bekas mufti Melaka, Sahibus Samahah, Datuk Seri Rashid Redza Md. Salleh pada tahun 1982. Saya terus tukar nama Subramaniam kepada Saiful Bahari,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Saiful Bahari, ibunya tidak menghalangnya berbuat demikian, malah wanita itu memintanya solat di dalam rumah setiap kali mendengar azan dikumandangkan.
Tambahnya, setahun kemudian dia bertemu jodoh dengan isterinya, Meriam Md. Esa, 69, atas persetujuan dan restu keluarga. Mereka dikurniakan dua anak perempuan, Siti Sarah, 38, dan Siti Farah, 33, serta lima cucu.