IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menerima 31 aduan berkaitan isu gula dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, aduan terutama berkaitan kekurangan bekalan, penyorokan dan penjualan bersyarat itu kebanyakannya melibatkan kedai runcit dan pasar raya.
Katanya, daerah Manjung, Taiping dan Gerik merekodkan aduan tertinggi bagi kes berkenaan.
“Sebanyak 240 premis telah diperiksa menerusi Op Manis di mana daripada jumlah itu telah menghasilkan dua kes di Parit Buntar dan Kuala Kangsar.
“Bagi kes di Parit Buntar, ia melibatkan kesalahan tanda harga melibatkan kompaun sebanyak RM200 manakala kes di Kuala Kangsar pula masih dalam siasatan bagi kesalahan tidak selenggara buku stok,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan ke atas premis perniagaan seperti pasar, kedai runcit dan pasar raya di seluruh negeri, didapati bekalan barang keperluan mudah diperoleh dan mencukupi.
“Keperluan adalah mencukupi dan boleh diperoleh di pasaran. Pengguna disarankan untuk membuat aduan rasmi jika berlaku sebarang isu kekurangan bekalan agar tindakan segera dapat diambil,” katanya. – KOSMO! ONLINE