IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak melupuskan pelbagai barangan bernilai RM1.16 juta hasil rampasan melibatkan 79 kes sepanjang tahun lalu.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, rampasan itu melibatkan tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Cap Dagang 2019, Akta Hak Cipta 1987, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Katanya, kesemua barang tersebut telah selesai menjalani proses di mahkamah dan mendapat kebenaran untuk dilupuskan.
“Pelupusan itu membabitkan barangan rampasan seperti kenderaan, pakaian, minyak diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan alat ganti kenderaan,” katanya pada sidang akhbar pelupusan eksibit perdana KPDN Perak di sini hari ini.
Manurut beliau, dari Januari hingga Mei lalu juga, KPDN Perak telah melupuskan barang rampasan bernilai RM1.36 juta membabitkan 45 kes.
Katanya, jumlah yang direkodkan bagi lima bulan pertama tahun ini dilihat menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu sebanyak RM1.16 juta.
“Hari ini sebanyak 2,845 unit barangan dilupuskan membabitkan kasut wanita, kasut kanak-kanak, pelekat jenama dan plastik beg yang menggunakan cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah.
“Nilai pelupusan barang kes berjumlah RM87,979 ini menjadikan jumlah nilai pelupusan terkumpul sejak Januari lalu adalah sebanyak RM1.36 juta,” katanya.
Tambah beliau, pelupusan ekshibit itu melibatkan barang rampasan kes yang dihasilkan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 di sebuah pusat membeli belah di Jalan Sultan Abdul Jalil di Ipoh pada 16 Jun 2022.
“Barangan ini disita pada 2022 dan pemiliknya telah dikompaun sebanyak RM30,000 oleh mahkamah kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagang 2019,” katanya. – KOSMO! ONLINE