KUALA LUMPUR – Malaysia bakal menanggung kos penghospitalan yang semakin bertambah pada masa depan ekoran kesedaran yang kurang dalam kalangan rakyatnya membuat pemeriksaan khususnya berkaitan dengan kadar kolesterol masing-masing.
Jumlah mereka yang mengetahui tahap kolesterol LDL tinggi masing-masing adalah sangat rendah iaitu kira-kira satu perempat (24.6 peratus) dan ada yang juga yang tidak tahu menahu tentang tahap status kesihatan mereka.
Pakar Perunding Kardiologi Kanan Pusat Perubatan Universiti Malaya, Datuk Dr. Wan Azman Wan Ahmad berkata, disebabkan masalah tersebut, jumlah pertambahan pesakit muda di negara kini begitu membimbangkan.
“Kami melihat permulaan kes penyakit kardiovaskular (CVD) yang lebih awal dengan purata umur pesakit daripada 56 hingga 59 tahun.
“Purata umur ini 10 tahun lebih muda berbanding di negara-negara maju. Apa yang kami bimbangkan adalah kira-kira 25 peratus daripada pesakit didiagnos dengan sistem koronari di bawah umur 50 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran satu kertas kerja Heart Matters: The Rising Burden of Cardiovascular Diseases in Malaysia and Potential Touchpoints For Interventions di sini baru-baru ini.
Turut diadakan adalah sesi perbincangan beberapa pakar perubatan seperti Pakar Perunding Kardiologi Kanan Institut Jantung Negara, Datuk Seri Dr. Azhari Rosman, Pakar Perunding Endokrinologi Kanan, Institut Endokrinologi Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Zanariah Hussein; Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Simpang Kuala, Alor Setar, Kedah, Dr Sri Wahyu Taher dan juga Pensyarah Pharmakoekonomi, Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Asrul Akmal Shafie.
Tambah Wan Azman, individu yang mempunyai tahap kolesterol LDL tinggi perlu mengambil langkah proaktif untuk memastikan masalah mereka dalam keadaan terkawal.
“Selain perubahan gaya hidup, pesakit juga hendaklah mengubah persepsi dan kepercayaan mereka terhadap ubat penurun kolesterol dan secara umumnya statin adalah ubat barisan pertama yang dipreskripsikan kepada pesakit,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE