PUTRAJAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung projek infrastruktur kecil seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dipindahkan kepada jabatan lain atau pejabat daerah.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, saranan Perdana Menteri itu dapat memberikan pelepasan kepada kementerian yang berurusan bersama KKR bagi melaksanakan sendiri projek infrastruktur kecil.
Katanya, projek infastruktur kecil itu melibatkan sekolah, klinik, parit kecil dan pembaikan pagar tidak melibatkan aspek teknikal yang kompleks serta aspek keselamatan pembinaan.
“Ini sejajar dengan arahan di dalam Arahan Perbendaharaan 182 dimana kementerian, jabatan dan agensi (KJA) boleh melaksanakan sendiri kerja-kerja penyenggaraan membaiki kerosakan kecil yang melibatkan struktur bangunan atau kerja elektrik yang bernilai tidak melebihi RM200,000 dengan mematuhi semua peraturan yang berkuatkuasa.
“Pelaksanaan projek-projek ini juga mengambil kira keupayaan KJA,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Jelasnya, keprihatinan Perdana Menteri juga dilihat dapat mengurangkan beban JKR sekaligus memberi ruang kepada jabatan itu terus fokus kepada pelaksanaan projek infrastruktur lain.
“Pelaksanaan projek infrastruktur yang lebih kompleks seperti pembinaan bangunan hospital, sekolah, jambatan-jambatan besar, pelabuhan, lebuhraya dan sebagainya,” ujarnya.
Tambahnya, kementeriannya juga menzahirkan ribuan penghargaan kepada Perdana Menteri dan berharap agar projek-projek yang diberikan pelepasan dapat dilaksanakan dengan lancar mengikut amalan terbaik kejuruteraan serta peraturan semasa yang berkuatkuasa demi kepentingan rakyat.
Semalam Kosmo! melaporkan, Anwar meminta semua jabatan kerajaan meneliti projek-projek yang diluluskan sebelum ini sama ada sedang berjalan mahupun belum dilaksanakan terutaman melibatkan projek berskala kecil berkepentingan rakyat.
Beliau menegaskan, supaya ketua-ketua jabatan melihat perkara itu pada minggu ini bagi mencari punca projek-projek berkenaan tertangguh atas alasan peruntukan tidak sampai atau ada diantaranya sudah ditugaskan ke jabatan lain.
Ujarnya, beliau sendiri akan mengadakan pertemuan bersama semua pegawai daerah untuk meminta mereka menjalankan tugas pelaksanaan itu termasuk penyaluran bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan e-Kasih supaya ia turut disegerakan. – KOSMO! ONLINE