ORANG ramai perlu mengambil inisiatif untuk menanam lebih banyak pokok bagi mengurangkan kesan cuaca panas dan kering yang melanda negara kini.
Penanaman pokok-pokok baharu dapat membantu menyerap karbon dioksida dari udara yang akhirnya mengurangkan kesan gas rumah hijau.
Sebagai satu usaha ke arah alam yang lebih hijau, The Truly Loving Company (TLC) Malaysia yang merupakan sebuah syarikat pemasaran produk pembersihan rumah mesra alam baru-baru ini bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Free Tree Society menganjurkan bengkel penanaman dan pengomposan yang dianjurkan di lima buah rumah kebajikan di Malaysia.
Bengkel tersebut adalah bagi memberi pendedahan dan inspirasi kepada orang awam dan komuniti untuk menjaga alam sekitar.
Sebanyak lima buah rumah kebajikan di Malaysia telah menerima sumbangan berjumlah RM50,000 dalam bentuk sumbangan wang serta pokok berbuah.
Lima buah rumah kebajikan yang terlibat adalah Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Johor Bahru, Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia, Rumah Aman, Shelter Home for Children dan Yayasan Kiwanis Sindrom Down – Pusat Nasional.
Presiden Free Tree Society, Carolyn Lau berkata, inisiatif tersebut adalah salah satu usaha organisasi berkenaan untuk mewujudkan dunia yang lebih hijau.
“Setiap tahun, Free Tree Society akan mengedar beribu-ribu tumbuhan percuma dan menganjurkan bengkel kepada masyarakat, anak muda dan kumpulan korporat.
“Sejak tahun 2012, kami telah menghadiahkan lebih daripada 52,000 tumbuhan sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk mencipta dunia yang lebih hijau,” katanya.
Tambah Carolyn, kempen Kelak Gelak yang diwujudkan itu adalah bagi memberi mesej kepada orang ramai tentang kepentingan melakukan sesuatu untuk memastikan kita boleh menikmati kesenangannya pada masa akan datang.
“Kelak Gelak merupakan frasa bahasa Melayu yang membawa maksud ‘untuk ketawa kemudian’.
“Mesej yang dibawa oleh kempen ini adalah agar kanak-kanak dapat menghayati pengalaman menanam pokok sekarang dan menikmati hasilnya pada masa akan datang,” jelasnya.
Acara pemerkasaan dan pendidikan yang difokuskan kepada kanak-kanak itu juga adalah bagi memberi peluang kepada para peserta untuk mengambil bahagian dalam bengkel interaktif menanam dan pengomposan.
Bengkel-bengkel tersebut memperkenalkan peserta kepada asas penanaman, teknik penyiraman pokok serta proses dan manfaat pengomposan.
Setiap rumah kebajikan menerima bantuan sumbangan yang besar iaitu sebanyak RM10,000 untuk menyokong misi mereka dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.
Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TLC, Julia Chong pula menekankan pentingnya mempromosikan kelestarian masa hadapan.
“Ketika kita berusaha menuju masa depan yang serba hijau, kita harus ingat bahawa anak-anak kita layak mendapatkan dunia yang lestari dan sihat.
“Inilah sebabnya mengapa kami bekerjasama dengan Free Tree Society untuk menyediakan pokok berbuah kepada rumah dan pusat perlindungan kanak-kanak.
“Ini tidak hanya membantu membina kelestarian alam tetapi juga mengajar generasi muda ini bagaimana untuk menghargai dan ambil peduli terhadap ruang hijau di sekitar mereka,” terangnya.
Tambah Chong, langkah tersebut mungkin dilihat kecil, namun setiap satu daripada usaha kita pada masa ini adalah cukup berharga buat masa depan yang lebih baik.