PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi, Janna Nick yang baru melangsungkan majlis perkahwinan bersama Dini Schatzmann sekali lagi mencuri tumpuan apabila kos jurusolek yang digunakannya mencecah RM9,300.
Menerusi perkongsian di Facebook Azzim Aziz, dia mendedahkan pelantun lagu Mentari Setia itu menggunakan khidmat jurusolek terkenal dari Thailand yang dikenali sebagai Babarabeer.
Dalam hantaran sama, dia turut memuat naik satu tangkap layar memaparkan perbualannya bersama jurusolek terbabit berhubung harga yang ditawarkan.
“Suka betul dengan ‘make up’ (solekan) Janna. Saje tanya ‘rate’ (kadar) harga jurusolek Thailand ni.
“Harga dia 70,000 baht (bersamaan RM9,300). Padanlah dengan harga artis. Kemampuan masing-masing. Kalau rasa nak cantik dan mampu, tiada masalah,” katanya di ruangan kapsyen.
Susulan itu, rata-rata ramai memuji hasil solekan tersebut sekali gus menyifatkan ia berbaloi dengan harga yang dibayar.
“Berbaloi bagi orang yang banyak duit dan menghargai karya seorang jurusolek,” kata Yunnie.
“Kulit dia pun licin dan bersih. Buat lagi bertambah cantik walaupun nampak ‘simple’. Lepasni jangan lah pula ada minta solekan macam Janna tapi bajet RM150,” ujar Yin.
Difahamkan, Babarabeer sebelum ini pernah menata rias wajah Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Janna dan Dini selamat bergelar suami isteri dalam sebuah majlis tertutup di sebuah resort mewah dekat Langkawi pada 10 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE